Monday, April 12, 2010

Penjelasan Lencana SKPC

MOTO: BERINTELEK DAN BERETIKA

· Berintelek merujuk kepada keupayaan minda untuk mengetahui atau memahami sesuatu perkara yang menjurus kepada keupayaan pemikiran untuk mengapai ilmu pengetahuan.

· Beretika merujuk kepada sistem nilai moral yang mengatur perlakuan seseorang individu dalam masyarakatnya seperti agama yang dianuti seseorang menentukan nilai yang memberi landansan kepada perjalanan kehidupan individu itu.

ELEMEN LENCANA SEKOLAH:

· Bentuk Lencana: Lencana SKPC adalah diilhamkan dari bentuk bujur daun sireh. Dua helai daun sireh yang ditindankan antara satu sama lain memberikan bentuknya seperti tertera dalam lampiran. Proses ini memberikan rekabentuk lencana yang unik, moden dan bersinergi.

· Nama Sekolah: Nama SEKOLAH KEBANGSAAN PROTON CITY dalam huruf besar berwarna kuning tertulis secara penuh di bahagian atas lencana memberinya keutamaan dan penampilan yang jelas.

· Moto: Berintelek dan Beretika terletak di sisi lencana bersebelahan dan menghadap antara satu sama lain memperkukuhkan semangat yang dibawa oleh warga SKPC iaitu sentiasa mengejar ilmu pengetahuan dan bersifat mulia berasaskan nilai moral yang dianuti setiap ahlinya.

· Buku: Gambaran Buku terbuka dan helaian kertas terdapat di dalam lencana. Buku adalah pelambangan ilmu pengetahuan. SKPC sebagai institusi pendidikan amat mementingkan ahlinya sentiasa rapat dan rajin menimba ilmu dari pelbagai sumber terutama buku.

· 2010: Angka ini merujuk kepada tahun SKPC dibuka dan beroperasi sepenuhnya sebagai sebuah sekolah.

· Lima Gelung: Lima gelung yang berantai diilhamkan dari symbol olimpik yang melambangkan lima benua serta semangat kesukanan dalam pertandingan. Lima gelung dalam lencana SKPC juga mencerminkan komitmen sekolah terhadap pembangunan sukan dan kokurikulum untuk melahirkan individu yang sempurna.

· Abstrak Sains dan Teknologi: Abstrak spera dan glob berputar yang bertindan berwarna kuning yang terletak di tengah-tengah lencana melambangkan hakikat alam yang hanya di jangkau melalui keupayaan sains dan teknologi. Abstrak ini memberikan pengertian kepada kepentingan sains dan teknologi di SKPC dan menjadi tunjang kepada pembangunan negara.

· Warna Merah: Adalah lambang keberanian dan ketabahan ahli-ahli SKPC dalam menghadapi cabaran dan tuntutan pendidikan dalam pentas globalisasi yang penuh persaingan untuk menuju ke arah kecemerlangan.

· Warna Kuning: Adalah lambang taat setia dan hormat pada pemerintahan serta undang-undang Negara. Ia juga adalah perlambangan disiplin yang tinggi yang dimiliki oleh warga SKPC dalam mematuhi peraturan yang ditentukan oleh pihak sekolah.

· Warna Biru: Adalah lambang perpaduan dan keharmonian yang terjalin antara warga SKPC yang datang dari pelbagai latarbelakang ras, budaya, agama dan adat resam.

No comments:

Post a Comment